BEIRUT: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) akan mula berundur dari negara ini selepas mandatnya tamat pada 31 Disember depan.

Ia selaras dengan Resolusi 2790 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut misi berkenaan, semalam, lapor Xinhua.

UNIFIL dalam satu hantaran melalui platform X memaklumkan bahawa pihaknya akan meneruskan operasi harian di seluruh selatan Lubnan, termasuk memantau dan melaporkan perkembangan semasa, menyokong Angkatan Tentera Lubnan, serta memudahkan pelaksanaan misi kemanusiaan hingga mandatnya berakhir.

Katanya, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) sedang mempertimbangkan pengaturan bagi tempoh selepas pengunduran pasukan itu.