Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh jalinan strategik di peringkat antarabangsa bersama Akademi Antirasuah Antarabangsa (International Anti-Corruption Academy - IACA) bagi merealisasikan aspirasi meletakkan Malaysia sebagai Hab Global Pegawai Integriti serta pusat operasi wilayah (Regional Chapter) bagi rantau Asia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, inisiatif berimpak tinggi itu digerakkan susulan pengiktirafan IACA terhadap reputasi Malaysia sebagai negara pelopor yang berjaya melaksanakan program Pegawai Integriti dalam sektor awam secara sistematik.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Malaysia kekal komited menyokong peranan IACA sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, latihan dan penyelidikan antirasuah global.