Putrajaya: Pesawat amfibia Bombardier CL-415MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencatatkan 10,000 jam penerbangan sejak mula beroperasi pada 2009, satu pencapaian penting dalam operasi pengawasan maritim, mencari dan menyelamat (SAR), serta misi kemanusiaan agensi berkenaan.

Pesawat dengan nombor pendaftaran M71-01 (MSN 2068) itu menerima pengiktirafan daripada pengeluar pesawat, De Havilland, atas pencapaian berkenaan yang turut diketengahkan semasa perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Dalam kenyataan, Maritim Malaysia memaklumkan bahawa pesawat itu, yang memulakan operasinya pada 23 Januari 2009, dikendalikan oleh Skuadron Amfibia yang berpangkalan di Stesen Udara Maritim Subang.