BATU KAWAN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah mengemukakan draf laporan teknikal berhubung kejadian tanah runtuh yang mengorbankan seorang lelaki di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, baru-baru ini, kepada kerajaan negeri.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata laporan itu sedang melalui proses penelitian lanjut sebelum penilaian menyeluruh mengenai kejadian berkenaan dapat dimuktamadkan.
Beliau berkata, beberapa kemungkinan punca dikenal pasti untuk siasatan teknikal lanjut termasuk keadaan cuaca, aliran air permukaan, paip saliran dan beban tanah berlebihan.
"Bagaimanapun, kita tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Penjelasan terperinci perlu diberikan jurutera dan kerajaan negeri masih menunggu laporan lengkap daripada MBPP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang baharu Estek Automation di sini, hari ini.









