Gua Musang: Pasukan penyelamat terpaksa meredah perjalanan sejauh kira-kira dua kilometer menyusuri landasan kereta api bagi membawa jenazah seorang wanita dari Kampung Serian Batu 11 di sini, semalam.

Wanita berusia 50-an itu dipercayai meninggal dunia akibat masalah jantung, namun jenazahnya gagal dibawa keluar berikutan laluan utama ke kampung berkenaan ditenggelami air susulan hujan lebat malam kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Susulan itu katanya, empat anggota bomba bersama empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke lokasi kejadian.