KUALA LUMPUR: Maritime Network Sdn Bhd menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Olam Global Agri Pte Ltd (Olam Global) yang berpangkalan di Singapura bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan pencampuran muatan minyak sawit dari Indonesia dan Malaysia sebelum dihantar ke Mesir.

Menerusi surat bertarikh 29 Oktober lalu, firma guaman Jaya Prem Chambers mempertikaikan dakwaan bahawa anak guamnya mengetahui dan bersetuju dengan pengaturan itu sebelum tiga bil muatan dikeluarkan pada 30 September lalu.

Maritime Network bertindak sebagai ejen pelabuhan bagi kapal MT Eunice yang membawa kira-kira 35,432 tan metrik produk minyak sawit dari Indonesia sebelum memuatkan tambahan 4,999.715 tan metrik olein sawit mentah di Pelabuhan Klang.