Seoul: Universiti Seoul membuat laporan polis terhadap dua calon kemasukan yang ditangkap membawa dan menggunakan cermin mata pintar ketika menduduki peperiksaan kemasukan awal, lapor Seoul Economic Daily.

Balai Polis Dongdaemun menerima laporan pada 26 Oktober lalu yang mendakwa, kedua-dua calon itu didakwa mengganggu urusan universiti dengan melakukan perbuatan menipu menggunakan cermin mata pintar ketika peperiksaan berkenaan.

Pihak universiti mengesan kedua-dua pelajar memakai atau membawa cermin mata pintar yang dilengkapi fungsi kecerdasan buatan (AI) di bilik peperiksaan matematik bagi pemohon aliran sains semula jadi pada 3 Oktober lalu.

Mereka kemudian dikeluarkan serta-merta dari bilik peperiksaan dan dilarang menduduki peperiksaan kemasukan universiti itu selama tiga tahun.