PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Ketua-Ketua Negara/Kerajaan Komanwel Ke-28 (CHOGM 2026) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di St. John's, Antigua dan Barbuda, dari 1 hingga 4 November ini.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, memaklumkan bahawa CHOGM 2026 yang bertemakan "Accelerating Partnerships and Investment for a Prosperous Commonwealth" akan dihadiri oleh ketua negara, ketua kerajaan dan menteri dari 56 negara anggota Komanwel.

"Menteri Luar akan menyertai beberapa mesyuarat peringkat tinggi dan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat.

"Perbincangan akan tertumpu kepada pengukuhan Kerjasama Selatan-Selatan dan usaha merapatkan jurang pembangunan global serta menggalakkan perdagangan dan pelaburan antara negara anggota Komanwel," menurut kenyataan itu.