KUALA LUMPUR: Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama negara dilaporkan lancar setakat 8 pagi ini, dengan pergerakan kenderaan pulang ke ibu negara dijangka mula meningkat menjelang tengah hari selepas cuti perayaan Deepavali dan cuti tambahan persekolahan.
Bagaimanapun, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata berlaku sedikit kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dari Yong Peng menuju ke Ayer Hitam berikutan satu insiden kemalangan.
“Kemalangan di Kilometer 82.3 itu membabitkan sebuah lori dan kereta, namun ia tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi Bernama pagi ini.
Mengulas trend kepulangan warga kota, beliau berkata pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati belum ada pergerakan ketara menghala ke Lembah Klang, kemungkinan didorong faktor cuti tambahan hari ini.









