REMBAU – Lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang disyaki terlibat dalam kejadian pecah tiga tabung masjid di Kampung Seberang Batu Hampar di sini, direman selama enam hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Sara Afiqah Zulkipli di Mahkamah Majistret bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut dijalankan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Ngiam Ooi Ming berkata, suspek direman bermula 9 hingga 14 November ini selepas permohonan reman dibuat pihak polis di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi.

Terdahulu, suspek ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau kira-kira pukul 2.20 petang semalam.