Kota Kinabalu: Selepas hampir sedekad menabur bakti dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, 'Lexi', akhirnya pergi buat selamanya, sehari selepas menyertai misi terakhirnya.

Lexi, anjing pengesan baka Labrador Retriever berusia 10 tahun itu ditemukan tidak bernyawa di kandangnya, jam 6.15 pagi Jumaat lalu.

Lebih menyentuh hati, sehari sebelum kematiannya, Lexi masih menjalankan tanggungjawab sebagai anjing pengesan apabila menyertai operasi mencari orang hilang di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal, 5 November lalu.

Operasi berkenaan menjadi khidmat terakhir Lexi yang sudah berbakti bersama pasukan bomba sejak diperoleh dari United Kingdom pada 2017.