PETALING JAYA – Hasrat sebuah keluarga untuk berehat di sebuah rumah penginapan atau ‘homestay’ sebelum menghadiri majlis perkahwinan bertukar pengalaman kurang menyenangkan apabila berdepan pelbagai peraturan yang didakwa terlalu ketat.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @kimiraikonen_, dia mendakwa ahli keluarga mentuanya yang menginap di ‘homestay’ berkenaan pernah dimarahi pemilik rumah hanya kerana lambat menjawab panggilan telefon.
Lebih mengecewakan, dia turut mendakwa terdapat banyak kertas mengandungi peraturan yang ditampal di sekitar rumah sehingga menyebabkan tetamu berasa takut untuk menggunakan barangan yang disediakan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi pengalaman masing-masing selain memberikan pelbagai reaksi terhadap peraturan yang didakwa dikenakan.








