Kuala Lumpur: Sebuah institusi memandu dikenakan lapan notis kesalahan membabitkan pelbagai kesalahan teknikal dan pematuhan dalam operasi Ops Pemeriksaan Institusi Memandu (OPIM) Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) melalui Bahagian Penguat Kuasa melaksanakan Ops Pemeriksaan Institusi Memandu (OPIM) bagi memastikan kenderaan latihan memandu serta tenaga pengajar sentiasa mematuhi peraturan dan standard keselamatan yang ditetapkan.

Menurutnya, operasi yang disertai oleh 11 anggota Unit Operasi JPJ WPKL itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan kenderaan latihan, pematuhan peraturan pengajar serta tahap keselamatan kenderaan yang digunakan oleh calon pemandu.