Shah Alam: "Banjir kali ini membuatkan saya rasa seperti nak masuk ke rumah baharu kerana semua peralatan elektrik dan perabot rumah rosak ditenggelami air. Hanya tinggal televisyen saja itu pun sebab dipasang di dinding rumah di kedudukan lebih tinggi," kata Muhamad Saiful Nizam Mohamad Bakhtiar, 41.
Pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu antara penduduk Kampung Melayu Subang di sini, yang terjejas banjir dan kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang.
Muhamad Saiful Nizam berkata, dia berpindah ke PPS bersama isteri, Hamidah Abd Hamid, 41, dan tiga anak berusia antara tujuh hingga 14 tahun sejak Rabu lalu, selepas rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter (m).








