Kuala Krai: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan empat kereta di Kilometer (KM) 61 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat, berkata kemalangan berlaku jam 7.20 malam ketika kereta yang dinaiki mangsa (kereta pertama) dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah kereta (kereta kedua).

"Susulan itu, kereta itu melanggar belakang kereta ketiga, manakala kereta ketiga pula melanggar belakang kereta keempat yang berada paling hadapan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang juga penumpang hadapan sebelah kiri kereta pertama mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.