Georgetown: Sebarang tindakan terhadap pemaju projek yang dikaitkan dengan kejadian tanah runtuh di Paya Terubong akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, H'ng Mooi Lye, berkata kerajaan negeri sedang menunggu hasil siasatan jabatan berkenaan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.
"Kita akan menunggu hasil siasatan JKKP," katanya ketika dihubungi bagi mengulas kemungkinan tindakan terhadap pemaju projek terbabit.
Mengulas perkembangan kerja mitigasi di lokasi kejadian, Mooi Lye berkata, dalam satu mesyuarat penyelarasan baru-baru ini, jurutera perunding memaklumkan kerja mitigasi akan memberi tumpuan awal kepada Zon A dan B yang dijangka mengambil masa antara empat hingga lima bulan untuk disiapkan.








