MELAKA – Fasih bertutur bahasa Mandarin memberikan kelebihan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang Farzana Hayani Mohd Nasir untuk mendekati pengundi Cina, khususnya golongan warga emas.

Kehadirannya di Pokok Mangga, di sini bagi berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, menarik perhatian peniaga Fang Kong Goon, 63, yang memuji keramahan calon muda itu semasa berinteraksi dengan komuniti Cina.

“Pandai bertutur bahasa Mandarin membolehkan Farzana lebih mudah memperkenalkan diri kepada komuniti Cina terutama warga emas dan membina hubungan lebih mesra dengan penduduk.

“Penggunaan bahasa Mandarin ketika berkempen juga memudahkan penyampaian maklumat termasuk berkaitan manifesto dan harapan jika menjadi wakil rakyat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Tokong Geok Hu Keng di sini.