Kuala Lumpur: Seramai 1,135 mangsa banjir daripada 321 keluarga masih ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di Selangor, Perak dan Sarawak setakat jam 1 tengah hari ini.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Selangor mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 703 orang daripada 193 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.
Ia diikuti Perak mencatatkan seramai 425 mangsa daripada 127 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.
Manakala Sarawak mencatatkan seramai tujuh orang mangsa membabitkan sebuah keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS.






