KUALA LUMPUR: Fasih berbahasa tempatan dan memahami selok-belok budaya masyarakat Malaysia kini dijadikan 'senjata utama' sindiket penipuan antarabangsa bagi menjerat mangsa di tanah air.
Situasi itu memicu permintaan tinggi terhadap tenaga kerja tempatan untuk direkrut dan ditempatkan di pusat panggilan (scam call centre) di luar negara, termasuk kes penahanan 130 rakyat Malaysia di Pakistan, baru-baru ini.
Ketua Program Kriminologi, Pusat Kajian Psikologi & Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azahah Abu Hassan Shaari, berkata sindiket jenayah siber rentas sempadan melihat rakyat Malaysia sebagai aset berharga bagi memantapkan taktik penipuan mereka.
"Penipuan menyamar sebagai institusi tempatan seperti pegawai bank atau polis berhubung dakwaan pengubahan wang haram akan lebih meyakinkan apabila dilakukan oleh individu yang fasih bahasa tempatan dan memahami konteks masyarakat kita.









