JOHOR BAHRU – Angkara kehabisan wang belanja dan terdesak untuk pulang ke tanah air, seorang lelaki Malaysia bertindak nekad menyamun kenderaan seorang wanita di Batam, Indonesia, Jumaat lalu.
Suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Melaka itu turut bertindak agresif merempuh seorang anggota polis trafik sehingga cedera ketika cuba meloloskan diri daripada ditangkap.
Ketika kejadian suspek mengacukan pistol acuan (airsoft) serta pisau.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Barelang, Komisioner Agung Tri Poerbowo berkata, siasatan awal mendapati suspek memasuki Indonesia sejak 15 September lalu untuk bercuti, namun telah tinggal lebih masa (overstay) selama 10 hari selepas kehabisan wang.







