Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik melampau terhadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menerusi akaun media sosial, Ogos lepas.

Pengakuan penganggur Abdullah Aidid Mochtar @ Ahmad Duta, 44, dan pereka grafik Ashadi Zul'izzi Zainal Abidin, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) direkodkan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.

Abdullah Aidid didakwa melakukan kesalahan itu menerusi aplikasi TikTok “rookiebenz_albenzauto” pada 11.27 malam 1 Ogos manakala Ashadi Zul’izzi didakwa melakukan perbuatan sama menerusi akaun Threads “razakahmad725” pada 2.39 petang 4 Ogos.