Sepang: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan membuat komen bersifat jelik di Facebook terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peniaga, Muhammad Zubair Ismail, 44, berasal dari Alor Setar, Kedah, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Lelaki itu didakwa melakukan komunikasi jelik itu menerusi Facebook pada 12 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(2) akta sama. Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.