KUALA LUMPUR: Di sebalik kelebihan Adly Zahari sebagai bekas Ketua Menteri, pengalaman itu sahaja tidak menjamin sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Felo Penyelidik ILHAM Centre yang juga penganalisis politik, Mujibu Abd Muis, berkata, ini kerana isu dalam PRN kali ini yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat ialah kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, masalah air, banjir kilat, kesesakan lalu lintas dan kualiti kemudahan awam.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu membuktikan pemilihan Pengerusi PH Melaka itu sebagai calon Ketua Menteri bukan sekadar menawarkan pengalaman pentadbiran, bahkan penyelesaian jelas terhadap semua masalah berkenaan.

Katanya, cabaran Adly ialah tempoh pentadbirannya sebelum ini agak singkat, sedangkan BN mempunyai kelebihan sebagai kerajaan negeri sedia ada.