Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan dua koleksi duit syiling peringatan edisi terhad sempena ulang tahun ke-120 Jabatan Audit Negara (JAN) dan ulang tahun ke-75 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan harga jualan bermula RM16.50 sekeping.
Pengeluaran duit syiling itu merangkumi tiga pilihan bagi setiap sambutan iaitu duit syiling perak sterling pruf, duit syiling emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U) serta set gabungan dua jenis syiling berkenaan.
Bagi sambutan ulang tahun ke-120 JAN, duit syiling perak sterling pruf dengan ketulenan 92.5 peratus dan berat 31 gram mempunyai nilai muka RM10 serta dijual pada harga RM418 sekeping dengan jumlah tempaan sebanyak 1,000 keping.








