KOTA BHARU: Lima kawasan di jajahan Jeli, iaitu Batu Melintang, Kampung Lawar, Lata Janggut, Sungai Rual dan Kampung Rual, dikenal pasti berpotensi dijadikan sebagai koridor dan bank makanan gajah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, berkata permohonan penggunaan tanah di lokasi berkenaan yang terletak di Taman Perlindungan Ekosistem Sultan Ismail Petra (TPESIP), Tasik Pergau juga sudah mendapat kelulusan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kelantan.

"Kajian kesesuaian mewujudkan koridor gajah di Jeli mula dilaksanakan pada 2024 oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan.