KUALA LUMPUR: Selepas mencetuskan kontroversi menerusi hantaran media sosial yang menyentuh sensitiviti masyarakat Kristian, pelakon Zahirah Macwilson sekali lagi tampil memohon maaf secara terbuka, kali ini menerusi video yang dimuat naik di Instagram.

Dalam video berdurasi lebih dua minit itu, Zahirah mengakui kenyataannya sebelum ini tidak tepat, selain menyedari kecuaian mengaitkan tiga sambutan berbeza iaitu Halloween, Krismas dan Easter dalam satu hantaran.

Dalam keadaan sebak dan berlinangan air mata, Zahirah menegaskan tidak pernah berniat melabelkan Krismas dan Easter, yang dianggap suci oleh penganut Kristian, sebagai perayaan bersifat syaitan atau pemujaan syaitan.

"Saya ingin menyampaikan permohonan maaf yang paling tulus dan ikhlas tanpa sebarang syarat, khususnya kepada masyarakat Kristian yang tersinggung dan terluka dengan hantaran berkenaan.