KUALA LUMPUR: Potensi pembangunan hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih kapal (MRO) antara bidang kerjasama strategik diteroka Malaysia dan Turkiye dalam usaha memperkukuh hubungan perdagangan serta pelaburan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Konsul Kehormat Malaysia di Bursa, Türkiye, Datuk Cevdet Sefer, sempena hari ketiga lawatan kerja beliau ke negara berkenaan.

Beliau berkata, selain industri maritim, perbincangan turut memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dalam industri pertahanan, kewangan Islam, teknologi dan industri halal.

"Turut dibincangkan peluang pemindahan teknologi serta pembangunan tenaga mahir tempatan melalui institusi seperti Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET)," katanya menerusi hantaran di Facebook.