KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan mula menggerakkan tiga pasukan secara bergilir dalam tempoh 24 jam, bagi memantau lokasi berkemungkinan dilanda banjir.

Pegawai Bahagian Operasi Bencana APM Kuantan, Leftenan (PA) Aznor Hafizi Ahmad, berkata setiap pasukan dianggotai lapan orang dan mula digerakkan sejak awal bulan ini.

Katanya, sekiranya kawasan terbabit mula dilanda banjir, pasukan akan segera menyalurkan maklumat untuk memastikan keselamatan penduduk.

"Kita sudah mula melakukan pemantauan 24 jam susulan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran, meramalkan Kuantan kemungkinan dilanda banjir,' katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi sering dilanda banjir, iaitu Batu 3 dan Sungai Belat di sini, hari ini.