KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek percaya pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mampu kembali menjadi pencabar utama kejuaraan berdasarkan peningkatan prestasi yang dipamerkannya dalam dua kejohanan terakhir.

Rashid berkata, corak permainan Zii Jia kini menunjukkan perubahan positif apabila lebih berani menyerang yang sememangnya menjadi 'senjata' utamanya.

Menurutnya, kemampuan pemain ranking ke-40 dunia itu menewaskan pemain kelompok 10 terbaik dunia turut membuktikan dia masih memiliki keupayaan untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Perkembangan itu dapat dilihat menerusi pencapaian Zii Jia yang mara ke separuh akhir Terbuka Artik, bulan lalu, sekali gus menjadi keputusan terbaiknya sejak menjuarai Terbuka Australia 2024.