Melaka: Jentera Barisan Nasional (BN) diminta menerima keputusan pemilihan calon dan mengetepikan rasa tidak puas hati bagi memastikan gerak kerja parti tidak terjejas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata perbezaan pandangan berhubung pemilihan calon tidak seharusnya menjadi penghalang kepada ahli dan jentera parti untuk memberikan sokongan penuh kepada individu yang diputuskan pucuk pimpinan.
"Saya sudah menasihatkan semua jentera parti bahawa untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya ini, jentera dan ahli parti perlu mempunyai sikap positif ketika menjalankan tugas.
"Kita tidak mahu timbul rasa tidak puas hati hanya kerana calon pilihan sendiri tidak mendapat peluang untuk bertanding. Apa yang penting, kita sudah memilih calon daripada BN dan UMNO untuk menjalankan tanggungjawab ini," katanya.








