KOTA MELAKA: Politik khidmat bakti yang menjadi pendekatan Barisan Nasional (BN), perlu terus diperkukuh untuk mendekatkan parti itu dengan rakyat, terutama golongan muda.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, berkata beliau yakin masyarakat masih merindui pendekatan politik berteraskan khidmat bakti berbanding isu yang lebih banyak disensasikan.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN itu berkata, pendekatan berkenaan bukan saja harus diteruskan tanpa mengira kaum, malah perlu diperluaskan kepada aspek sosial bagi memenuhi keperluan golongan muda.

"Selama ini, BN hidup dengan politik khidmat bakti. Saya yakin dan percaya sebenarnya semua merindui politik khidmat bakti," katanya.