Doha: Malaysia menggesa agar aspek daya tahan telekomunikasi di lokasi ekonomi kritikal seperti pelabuhan, rangkaian kereta api, lebuh raya serta hab perindustrian diberi perhatian serius, dan memberi amaran bahawa sebarang gangguan boleh membawa kesan meluas terhadap rantaian bekalan global serta aktiviti ekonomi.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ketersambungan rangkaian yang boleh dipercayai di lokasi berkenaan semakin penting kerana infrastruktur digital kini berdepan ancaman yang semakin meningkat termasuk cuaca ekstrem, serangan siber, gangguan bekalan elektrik dan kerosakan kabel dasar laut.

Beliau berkata, gangguan telekomunikasi di pelabuhan utama misalnya, boleh menjejaskan operasi pengendalian kargo, mengganggu rantaian bekalan dan mencetuskan kesan ekonomi yang melangkaui sempadan negara.