DOHA: Malaysia menggesa pendekatan lebih menyeluruh terhadap ketersambungan digital global, yang bukan hanya tertumpu kepada kawasan berpenduduk, malah merangkumi lokasi ekonomi utama seperti pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya, memandangkan akses Internet semakin penting bagi pertumbuhan dan daya tahan ekonomi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Malaysia sedang meneroka konsep Coverage of Economic Areas (CoEA) untuk melengkapkan pendekatan sedia ada, iaitu liputan kawasan berpenduduk (CoPA), sekali gus mencerminkan kepentingan infrastruktur digital dalam menyokong aktiviti ekonomi dan pembangunan negara.
Beliau berkata, Malaysia berharap Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) akan meneroka konsep itu bersama-sama negara anggota sebagai pendekatan tambahan untuk menilai ketersambungan dan memajukan pembangunan digital yang inklusif serta mampan.









