HULU SELANGOR - Empat lagi mangsa kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, ditemukan lemas pagi Selasa menjadikan lima daripada lapan mangsa yang dilaporkan dihanyutkan arus sudah dikesan setakat ini.Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, tiga mangsa ditemukan tersekat di kawasan Jambatan Senget berhampiran Camp Site Sungai Luit kira-kira jam 9.20 pagi."Seorang lagi mangsa ditemukan berhampiran kawasan sama pada jam 10.20 pagi, kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi kejadian."Semua mangsa kini dalam usaha dikeluarkan oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR)," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.Terdahulu, seorang lelaki tempatan dikenali sebagai V Vijayan berusia 36 tahun ditemukan meninggal dunia di kawasan Jambatan Pertak kira-kira jam 1.30 pagi tadi.Ashrul Riezal berkata, operasi SAR diteruskan pagi ini dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor."Sektor A membabitkan kawasan Lata Jebus hingga Lubuk Pertak, manakala Sektor B dari Lubuk Pertak hingga Jambatan Dam."Sektor C pula membabitkan kawasan Jambatan Dam dan Sektor D di kawasan empangan," katanya.Dalam kejadian petang Isnin, lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus susulan kejadian kepala air di beberapa lokasi sekitar Sungai Pertak.Mangsa yang dilaporkan hilang terdiri daripada seorang warga Yaman, empat warga India, seorang warga Nepal, seorang warga Sri Lanka dan seorang lelaki tempatan.Selain mangsa yang dihanyutkan arus, beberapa kumpulan pengunjung turut dilaporkan terkandas di kawasan Lata Jebus, Kem Sungai Luit dan Gunung Rajah.Operasi SAR dijalankan oleh JBPM bersama beberapa agensi penyelamat lain.