KUALA LUMPUR: Seramai 453 mangsa banjir daripada 127 keluarga kini berlindung di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di tiga negeri, iaitu Perak, Selangor, dan Sarawak setakat jam 9.30 pagi ini.

​Berdasarkan statistik terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perak mencatatkan jumlah penduduk terjejas paling tinggi apabila seramai 414 mangsa daripada 118 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di dua daerah.

​Di daerah Hilir Perak, PPS Dewan Rumah Rehat MPTI Bandar Baru menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 242 orang daripada 73 keluarga, manakala PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan di Langkap menempatkan 133 mangsa daripada 37 keluarga.

​Sementara itu di daerah Larut, Matang dan Selama, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt kini menempatkan 39 mangsa daripada lapan keluarga.