BALING – Seorang pemilik kedai perabot terpakai sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran yang memusnahkan empat rumah kedai di Jalan Batu 5, Pekan Parit Panjang, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu menyebabkan kedai makan, kedai kuih bahulu dan dua lot kedai perabot terpakai hangus.

Anak pemilik kedai perabot terpakai berkata, bapanya berada di dalam premis ketika kejadian sebelum menyedari kebakaran selepas terdengar bunyi percikan api dari kedai makan bersebelahan.

Katanya, bapanya segera bertindak menyelamatkan diri dengan berlari ke masjid berhampiran dan bersyukur kerana berjaya keluar tanpa mengalami sebarang kecederaan.