MELAKA: Sebanyak 19 laporan polis diterima membabitkan beberapa kesalahan antaranya khianat, khianat menggunakan api dan pergaduhan dalam tempoh 11 hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, bermula 31 Oktober lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam tempoh itu juga sebanyak 18 kertas siasatan dibuka, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.

"Kebanyakan kertas siasatan terbabit dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan khianat dan Seksyen 435 KK iaitu khianat dengan api membabitkan tindakan membakar bendera.

"Selain itu, terdapat juga kesalahan hasutan dan ugutan," katanya kepada media selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, di Bukit Beruang, di sini hari ini.