PUTRAJAYA: Atlet yang memenangi pingat emas dalam acara berpasukan pada temasya utama kini bakal menikmati ganjaran RM40,000 seorang selepas kerajaan menaikkan kadar Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berkuat kuasa serta-merta.

Peningkatan itu menyaksikan ganjaran emas melonjak 166.67 peratus daripada RM15,000 kepada RM40,000, sekali gus menamatkan penantian 24 tahun untuk semakan kadar insentif bagi acara berpasukan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi memastikan pengorbanan atlet yang menyumbang kepada kejayaan pasukan mendapat pengiktirafan lebih setimpal.

Menurutnya, perkembangan prestasi sukan negara memerlukan suntikan motivasi baharu supaya atlet terus berusaha mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.