Putrajaya: Selepas 24 tahun, kadar Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan akhirnya disemak semula dengan ganjaran pingat emas dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM40,000 seorang.
Kali terakhir kadar SHAKAM bagi acara berpasukan disemak adalah pada 2002, manakala kadar bagi acara individu pula melalui semakan pada 2010.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melihat perkembangan pesat pencapaian sukan negara, khususnya dalam acara berpasukan, selain keperluan memastikan kebajikan dan ganjaran atlet terus terpelihara.
Beliau berkata, persatuan sukan juga perlu diberikan pengiktirafan terhadap usaha memastikan atlet mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran ditetapkan.









