PUCHONG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memberikan tumpuan untuk memperkasa ekonomi nelayan menerusi pengembangan industri akuakultur dan perniagaan hiliran bagi memastikan golongan itu tidak terus hanya bergantung kepada hasil tangkapan laut.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, berkata usaha berkenaan penting bagi meningkatkan pendapatan nelayan serta membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Katanya, menerusi agenda Satu Persatuan, Satu Produk (1P1P), LKIM menyediakan latihan, kepakaran dan modal bagi membolehkan persatuan nelayan menceburi akuakultur.
"Hampir 20 persatuan nelayan, sama ada di peringkat kawasan ataupun negeri, terbabit dengan akuakultur," katanya sempena sambutan ulang tahun ke-55 LKIM.








