BATU KAWAN : Langkah kerajaan negeri untuk memperkenalkan Program Mempelai Emas bermula tahun depan diharap dapat menggalakkan lebih ramai golongan bujang terbuka hati untuk berkahwin.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, apabila semakin ramai golongan itu mula berumah tangga dan berkeluarga, maka, ia secara tidak langsung akan membantu meningkatkan populasi penduduk di Pulau Pinang.
“Ketika ini, kadar kelahiran di Pulau Pinang juga dilaporkan semakin menurun sedangkan, dalam masa beberapa tahun lagi, negeri ini akan dikategorikan sebagai negeri menua.
“Jadi, menerusi program ini (Mempelai Emas), kita (kerajaan negeri) cuba memberi galakan kepada rakyat Pulau Pinang (untuk mula berkeluarga),” katanya ketika ditemui semasa menghadiri program Deepavali Madani & Kesejahteraan Pengguna 2026 anjuran Pusat Khidmat Bukit Tambun.









