Kuala Lumpur: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), Daniel Gimenez meluahkan kekecewaan selepas pasukannya tewas 1-3 kepada DPMM dalam aksi Liga Super, semalam.

Jelas Gimenez, mereka turun dalam perlawanan itu dengan misi membawa pulang keputusan positif, namun beberapa kesilapan dilakukan menyebabkan skuad Hobin Jang Hobin terpaksa berputih mata.

"Kami datang dengan harapan berbeza, tetapi perlawanan bermula dengan cara yang tidak sepatutnya apabila kami melakukan kesilapan. Pada separuh masa pertama, saya percaya kami adalah pasukan lebih baik.

"Namun, pada separuh masa kedua, DPMM melakukan beberapa pertukaran pemain dan perubahan itu benar-benar memberikan kesan kepada permainan mereka," katanya.