Kota Kinabalu: Penampakan cahaya terang di ruang udara Sabah yang tular di media sosial baru-baru ini disahkan berpunca daripada pelancaran roket Long March 12 milik China.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam satu kenyataan memaklumkan roket berkenaan dilancarkan dari Hainan International Commercial Launch Center di Wenchang, Hainan pada jam 4.24 pagi waktu Malaysia, Isnin lalu.

Menurut MYSA, pihaknya menerima maklumat awal berhubung laporan penampakan cahaya terang itu sebelum mengesahkan ia mempunyai kaitan dengan aktiviti pelancaran roket berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, MYSA turut menerima makluman daripada Agensi Angkasa Filipina (PhilSA) mengenai kemungkinan serpihan objek daripada pelancaran itu jatuh di zon jatuhan yang dikenal pasti dalam wilayah perairan kepulauan Filipina.