Kuala Lumpur: Malaysia perlu memperkukuh daya tahan operasi terhadap ancaman siber susulan serangan ke atas sistem penyejukan pasar raya di Eropah baru-baru ini yang mendedahkan kelemahan sistem saling berhubung dan berpotensi menjejaskan rantaian bekalan makanan, menurut seorang pakar keselamatan siber.

Profesor Adjung Universiti Malaysia of Computer Science and Engineering (UNIMY) Murugason R. Thangaratnam berkata penggodam tidak memerlukan kemahiran penggodaman yang canggih untuk melancarkan serangan kerana sistem yang digunakan dalam operasi harian seperti pengawal penyejukan, pengurusan bangunan dan platform pemantauan lebih mengutamakan kemudahan penggunaan serta kelancaran operasi berbanding keselamatan.