KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan logo yang dipaparkan pada sebuah kenderaan persendirian menerusi video tular di media sosial bukan logo rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya mengesan satu hantaran tular di Facebook yang memaparkan sebuah kenderaan menggunakan logo yang dilihat menyerupai lambang rasmi PDRM.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati logo berkenaan hanyalah reka bentuk yang mempunyai persamaan dari segi visual dan merupakan logo rasmi milik sebuah pertubuhan kebajikan, Nursiqah, yang berdaftar secara sah.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada penggunaan logo tersebut pada kenderaan berkenaan mematuhi undang-undang sedia ada atau bertujuan untuk mengelirukan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.









