KUDAT – Kegembiraan dua beradik memancing bertukar detik tragis apabila seorang daripada mereka disambar buaya ketika berada di Sungai Semayan, Pulau Banggi, di sini, petang semalam.

Murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Semayan itu dipercayai menjadi mangsa serangan reptilia itu ketika cuba melepaskan mata kail pancing yang tersangkut di sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi laporan seorang guru sekolah kira-kira pukul 4.30 petang.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 3.30 petang ketika mangsa keluar memancing bersama abangnya di sungai berkenaan.