PETALING JAYA: Beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selamatkan hari suram Malaysia selepas menjadi wakil kedua negara meloloskan diri ke peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, hari ini.

Pasangan No. 9 dunia itu membenam gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 21-18, 21-23, 21-13 dalam masa 56 minit di pusingan awal.

Kejayaan tersebut membuka laluan kepada Wei Chong-Kai Wun melebarkan jurang rekod pertemuan ke atas beregu ke-28 dunia itu menjadi 2-0.

Pada peringkat 16 terbaik, esok, beregu lelaki No. 3 Malaysia itu bakal berdepan pasangan No. 14 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark.