LAHAD DATU: Kemunculan buaya yang semakin kerap di perairan Laut Sulu di Kampung Tambisan menimbulkan kebimbangan penduduk, khususnya ibu bapa kerana anak mereka terpaksa menaiki bot melalui sungai itu untuk ke sekolah setiap hari.

Penduduk, Syamsul Faiz Ismail, 39, berkata kelibat reptilia itu semakin kerap dilihat di kawasan perairan itu sejak dua tiga tahun lalu, sekali gus menimbulkan keresahan penduduk kampung.

Beliau berkata, kehadiran buaya itu membimbangkan kerana kawasan laut itu adalah laluan harian digunakan murid sekolah, termasuk anak saudaranya untuk berulang-alik antara dua kawasan kampung berkenaan.

Katanya, Kampung Tambisan terbahagi kepada dua kawasan iaitu Tambisan Darat dan Tambisan Pulau, yang menempatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan.