KUALA LUMPUR: OCI TerraSus mencatat sejarah sebagai pelanggan industri pertama di Taman Perindustrian Samalaju (SIP), Bintulu, yang menerima bekalan gas asli daripada Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) bagi menyokong operasi dandang dan penghasilan stim di kilangnya.
Perkembangan itu susulan pemeteraian perjanjian jual beli gas antara kedua-dua syarikat, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperluas akses bekalan gas asli kepada pengguna industri di kawasan terbabit.
Perjanjian itu dimeterai oleh Presiden OCI TerraSus, Chung Seung Yong dan Naib Presiden Kanan Aset PETROS, Victor Maiyor pada majlis menandatangani perjanjian berkenaan.
OCI TerraSus berkata, akses kepada bekalan gas asli itu disokong oleh Projek Saluran Paip Samalaju (SPL) serta pembinaan Saluran Paip Lingkaran Taman Perindustrian Samalaju (SIPR) yang akan datang, memperkukuh jaringan infrastruktur gas di kawasan perindustrian.









