KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia meneruskan penurunan untuk ditutup rendah pada Rabu, berikutan tekanan jualan berterusan terhadap saham berwajaran tinggi sektor perbankan, kata penganalisis.
Pada jam 5 petang, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) susut 8.88 mata atau 0.55 peratus kepada 1,595.19 berbanding 1,604.07 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.02 mata lebih rendah pada 1,602.05 dan bergerak dalam julat antara paras terendah harian 1,588.75 dengan paras tertinggi 1,602.54 sepanjang dagangan.
Bagaimanapun, keluasan pasaran adalah positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 686 berbanding 427.









